
Mikroplastik dalam Plasenta dan Ovari: Ancaman kepada Wanita dan Generasi Akan Datang?
Author: Redzuan Nul Hakim bin Abdul Razak1,2, Nur Atira Zulaikha binti Zapri3, Nurhazirah binti Zainul Azlan1,2
1Institute of Planetary Survival for Sustainable Well-being (PLANETIIUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Bandar Indera Mahkota, Kuantan, Pahang.
2Jabatan Sains Asas Perubatan, Kulliyyah Kejururawatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Bandar Indera Mahkota, Kuantan, Pahang.
3 Jabatan Sains Bioperubatan, Kulliyyah Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Bandar Indera Mahkota, Kuantan, Pahang.
Mikroplastik (MP) ialah zarah plastik bersaiz kecil, lazimnya didefinasikan sebagai kurang daripada 5 milimeter (mm), yang berasal daripada degradasi sisa plastik yang lebih besar atau dihasilkan secara langsung untuk kegunaan komersial. Zarah ini boleh dikategorikan kepada dua jenis utama: MP primer, yang dihasilkan dalam saiz mikroskopik untuk aplikasi seperti kosmetik, produk penjagaan diri, dan bahan pelelas industri, serta MP sekunder, yang terhasil daripada pecahan bahan plastik yang lebih besar akibat faktor persekitaran seperti sinaran ultraungu, luluhawa mekanikal, dan aktiviti mikrob. MP kini banyak dikesan dalam pelbagai persekitaran, termasuk udara, ekosistem air tawar dan marin, tanah daratan, malah dalam produk makanan, menjadikannya sebagai bahan pencemar global yang semakin membimbangkan.
Pencemaran plastik merupakan salah satu isu utama alam sekitar pada abad ke-21. Keseriusan masalah ini dapat dilihat melalui peningkatan ketara dalam pengeluaran plastik global, daripada 1.5 juta tan metrik pada tahun 1950 kepada 320 juta tan metrik pada tahun 2017, dan dijangka mencecah 33 bilion tan metrik menjelang tahun 2025 (De Sá et al, 2018). Manfaat plastik yang tidak dapat dinafikan telah mendorong peningkatan pengeluaran dan penggunaan secara berterusan di seluruh dunia. Antara tahun 1950 hingga 2015, sebanyak 6.3 bilion tan plastik telah dihasilkan, namun hanya 9% daripadanya dikitar semula, 12% dibakar, manakala baki 79% sama ada dilupuskan di tapak pelupusan sampah atau dibuang terus ke persekitaran. Pada masa ini, pengeluaran plastik melebihi 380 juta tan setiap tahun, dengan 407 juta tan dihasilkan pada tahun 2015 sahaja, di mana 164 juta tan digunakan untuk pelbagai jenis pembungkusan.
Potensi risiko kesihatan akibat MP semakin membimbangkan, kerana kajian menunjukkan bahawa MP boleh bertindak sebagai pembawa bahan kimia berbahaya dan patogen mikrob, sekali gus meningkatkan kesan toksikologinya. Setelah berada dalam tubuh manusia, MP berpotensi mencetuskan tekanan oksidatif, keradangan, dan ketoksikan sel, yang boleh menyumbang kepada penyakit pernafasan, gangguan gastrousus, serta ketoksikan sistemik. Selain itu, keupayaan MP untuk terkumpul secara bioakumulasi dan berpindah merentasi aras trofik menimbulkan kebimbangan mengenai kesan jangka panjang terhadap ekologi dan kesihatan manusia, termasuk gangguan endokrin serta kemungkinan neurotoksisiti. Kewujudan MP yang berterusan dalam persekitaran menekankan keperluan mendesak untuk penyelidikan lanjut bagi menilai sepenuhnya kesannya terhadap ekosistem dan kesihatan manusia, serta membangunkan strategi mitigasi yang berkesan.
Penyelidikan terkini telah menimbulkan kebimbangan mengenai kewujudan MP dalam tubuh manusia, terutamanya dalam sistem pembiakan wanita. Kajian telah mengesan kehadiran MP dalam tisu plasenta, folikel ovari, dan lapisan uterus, menunjukkan keupayaannya untuk masuk ke dalam badan melalui pelbagai laluan dan terkumpul dalam organ pembiakan (Qin et al., 2024). Memahami mekanisma bagaimana MP boleh menyusup ke dalam sistem pembiakan wanita adalah amat penting kerana implikasinya terhadap kesuburan, kehamilan, dan kesihatan pembiakan secara keseluruhan. MP boleh memasuki sistem pembiakan wanita melalui tiga laluan utama iaitu mulut, hidung dan kulit.
Laluan utama adalah rongga mulut, di mana MP ditelan melalui makanan dan minuman yang tercemar. Kajian telah mengesan MP dalam air minuman (sama ada air botol atau air paip), makanan laut, garam meja, gula, dan makanan yang diproses, dengan bahan pembungkusan turut menyumbang kepada pencemaran. Setelah ditelan, MP bergerak melalui saluran pencernaan, di mana sebahagian zarah boleh menembusi dinding usus dan memasuki aliran darah sistemik akan meningkatkan kemungkinan ia berkumpul dalam organ pembiakan.
MP di udara telah dikesan boleh memasuki tubuh badan manusia melalui rongga laluan pernafasan. Filamen tekstil sintetik, bahan pencemar industri, zarah haus tayar, dan pembakaran plastik merupakan sumber utama MP di udara. MP yang berpunca daripada habuk rumah dan tekstil sering ditemui dalam persekitaran dalaman, di mana individu tinggal dan bernafas setiap hari. MP ini boleh mendap di dalam paru-paru dan seterusnya memasuki peredaran sistemik selepas disedut. Kajian menunjukkan bahawa MP yang disedut berpotensi menembusi tisu pembiakan, seperti yang dibuktikan dengan kehadirannya dalam sampel plasenta manusia. Ini juga mewujudkan kemungkinan pemindahan MP daripada ibu kepada janin (Qin et al., 2024). Selain itu, MP sering dikesan dalam fabrik sintetik, produk penjagaan diri, kosmetik, dan air tercemar, yang semuanya bersentuhan secara langsung dengan kulit manusia. Walaupun epidermis kulit berfungsi sebagai penghalang semula jadi, MP yang lebih kecil boleh meresap melalui folikel rambut, kelenjar peluh, atau mikroabrasi sebelum memasuki sistem limfa dan peredaran darah.
Kajian ke atas tikus oleh Yang et al. (2023) mencadangkan bahawa MP boleh memasuki saluran faraj dan mengurangkan bilangan folikel, di samping meningkatkan tekanan oksidatif dalam ovari serta kematian sel granulosa. Selain itu, pendedahan ibu kepada MP meningkatkan tekanan oksidatif dalam oosit dan menghalang proses pembentukan badan kutub. Pada tikus hamil, pendedahan oral kepada MP menyebabkan kadar penyerapan semula embrio yang lebih tinggi serta sekatan pertumbuhan plasenta dan janin, menunjukkan kemungkinan kesan bawaan daripada pendedahan ibu kepada MP terhadap anak yang dikandung. Bahan kimia beracun yang meresap daripada MP telah dikesan dalam air ketuban manusia, menekankan kepentingan penyelidikan mengenai kesan MP terhadap generasi akan datang.
Disamping itu, data terkini menunjukkan bahawa MP boleh menembusi dinding plasenta, mendedahkan embrio dan janin yang sedang berkembang kepada zarah plastik serta bahan kimia toksik yang berkaitan dengannya. Hal ini menjadikan wanita hamil sebagai kumpulan yang sangat terdedah kepada risiko pencemaran ini (Wu et al., 2024). Bahan kimia pengganggu endokrin termasuk bisfenol, ftalat, dan polychlorinated biphenyls telah dikategorikan sebagai MP yang boleh mengganggu perkembangan embrio. Kajian ke atas sampel plasenta manusia dan model haiwan menunjukkan bahawa pendedahan kepada MP boleh menyebabkan kelewatan pertumbuhan, kelahiran pramatang, dan kecacatan kongenital (Qiao et al., 2025). Kajian terbaru mendapati MP mampu menembusi penghalang plasenta, yang berpotensi menjejaskan kesihatan janin. Para penyelidik telah mengenal pasti kehadiran mikroplastik polietilena dan polistirena dalam tisu plasenta manusia, menimbulkan kebimbangan tentang kesannya terhadap fungsi plasenta dan perkembangan janin. Plasenta memainkan peranan penting dalam pemindahan nutrien dan oksigen; pengumpulan MP dalam plasenta boleh menyebabkan pertumbuhan janin yang terbantut dan perkembangan abnormal.
MP boleh mengganggu fungsi plasenta dengan meningkatkan tekanan oksidatif, yang boleh mencetuskan keradangan plasenta. Selain itu, MP mungkin menghalang pemindahan nutrien dan oksigen penting, sekali gus mengehadkan pertumbuhan embrio serta mengganggu keseimbangan hormon, yang meningkatkan risiko komplikasi kehamilan (Panneerselvam et al., 2024). Kajian ke atas tikus hamil yang terdedah kepada MP polistirena melaporkan keradangan plasenta yang teruk, pengurangan aliran darah, dan pertumbuhan embrio yang lemah (Qiao et al., 2025). Kajian dalam manusia juga telah mengesan kepekatan MP yang lebih tinggi dalam kelahiran pramatang, menwujudkan kemungkinan hubungan antara pendedahan plastik dengan kelahiran pramatang (Wu et al., 2024).
Lebih merisaukan,ada kajian menunjukkan bahawa MP boleh membawa sebatian neurotoksik, yang berpotensi mengganggu perkembangan otak embrio dan meningkatkan risiko kecacatan kongenital. Beberapa penyelidikan menunjukkan MP boleh mengganggu pembentukan tiub saraf janin, fungsi kognitif, dan perkembangan neurologi, yang boleh membawa kepada masalah kesihatan jangka panjang (Chakraborty et al., 2024). Penyelidikan haiwan makmal menunjukkan bahawa MP berkumpul dalam tisu plasenta dan janin, mengakibatkan pertumbuhan janin yang terbantut. Para penyelidik juga menemui perubahan dalam ekspresi gen yang mempengaruhi perkembangan embrio, serta peningkatan penanda keradangan dalam tisu janin (Wu et al., 2024). Walaupun data manusia masih terhad, kajian kawalan kes menunjukkan bahawa kepekatan MP lebih tinggi dalam plasenta bayi pramatang, mencadangkan kemungkinan hubungan antara pendedahan MP dengan hasil kehamilan yang buruk.
Walaupun kebimbangan semakin meningkat, penyelidikan mengenai MP dan kesihatan reproduktif wanita masih terhad. Memandangkan pencemaran plastik global yang semakin meningkat, terdapat keperluan mendesak untuk kajian longitudinal bagi menilai kesan jangka panjang terhadap kesihatan reproduktif. Kesimpulannya, kajian mengenai MP dalam konteks kesihatan reproduktif wanita adalah sangat penting disebabkan oleh kehadirannya yang meluas, kesan potensinya sebagai pengganggu endokrin, tindak balas keradangan, dan risikonya terhadap hasil kehamilan. Dengan semakin banyak bukti yang menunjukkan kewujudan MP ke dalam tubuh manusia, lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk memahami kesan sepenuhnya dan membangunkan strategi bagi mengurangkan risikonya.
Rujukan:
Chakraborty, S., Banerjee, M., & Jayaraman, G. (2024). Evaluation of the health impacts and deregulation of signaling pathways in humans induced by microplastics. Chemosphere.https://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S0045653524027887
De Sá, L. C., Oliveira, M., Ribeiro, F., Rocha, T. L., & Futter, M. N. (2018). Studies of the effects of microplastics on aquatic organisms: What do we know and where should we focus our efforts in the future? Science of the Total Environment, 645, 1029–1039. DOI: 10.1016/j.scitotenv.2018.07.207
Panneerselvam, D., Murugesan, A., & Others. (2024). Examining the hidden dangers: Understanding how microplastics affect pregnancy. Environmental and Reproductive Toxicology. https://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S0301211524006304
Qiao, Q. F., Wang, L. Q., Xu, Q. J., Wu, X. M., & Others. (2025). Exposure to polystyrene nanoplastics compromises ovarian reserve function and endometrial decidualization in early pregnant mice. Journal of Applied Toxicology. https://analyticalsciencejournals.onlinelibrary.wiley.com/doi/abs/10.1002/jat.4765
Qin, X., Cao, M., Peng, T., Shan, H., Lian, W., Yu, Y., Shui, G., & Li, R. (2024). Features, Potential Invasion Pathways, and Reproductive Health Risks of Microplastics Detected in Human Uterus. Environmental Science & Technology, 58(24), 10482–10493. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/38829656/
Wu, J., Liu, C., & Xie, Q. (2024). The effect of microplastic exposure on female and their offspring health. International Reproductive Health Journal. https://www.gjszjk.ac.cn/EN/abstract/abstract1763.shtml
Yang, J., Kamstra, J., Legler, J., & Aardema, H. (2023). The impact of microplastics on female reproduction and early life. Animal reproduction, 20(2), e20230037. https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC10399130/
Source: majalahsains.com
Photo by Nadezhda Moryak on Pexels