Skip to content

Kepentingan Pengeluaran Silaj Tempatan: Rumput Napier (pennisetum purpureum) sebagai Kunci Kelestarian Industri Ternakan

Penulis: Dr. Nurhazirah Zainul Azlan1,2, Nur Ainu Farhah Rabae2, Mohd Taufik Abd. Jalil2, Dr. Redzuan Nul Hakim Abdul Razak2,  Prof. Madya Dr. Noratikah Othman1,2, Prof. TS Dr. Muhammad Lokman Md. Isa2

1Department of Basic Medical Sciences for Nursing, Kulliyyah of Nursing, International Islamic University Malaysia (IIUM)

2Institute of Planetary Survival for Sustainable Well-being (PLANETIIUM), International Islamic University Malaysia (IIUM)

Pengenalan Industri Makanan

Makanan merupakan salah satu komoditi yang sangat sensitif dalam menjamin keperluan asas dan kelangsungan hidup manusia. Sekuriti makanan merujuk kepada ketersediaan bekalan makanan yang mencukupi, berkhasiat dan selamat untuk dimakan, dan mampu dimiliki oleh semua masyarakat. Namun begitu, sistem makanan tempatan kini berdepan dengan pelbagai cabaran, termasuklah kebergantungan tinggi terhadap bekalan import, kos pengeluaran yang tinggi, perubahan iklim yang tidak menentu dan isu keselamatan makanan. Perkara ini bukan sahaja menimbulkan kesukaran kepada masyarakat tempatan dalam mendapatkan bekalan makanan, malah membawa cabaran dan tekanan besar terhadap sektor penternakan dan pertanian negara.

Beberapa isu yang sering dihadapi oleh penternak dan kerajaan dalam sektor ternakan termasuklah berat badan, produktiviti pengeluaran dan prestasi pembiakan ternakan yang rendah, wabak virus dan penyakit yang dihadapi ternakan, bencana alam dan perubahan iklim, kelemahan sistem pengurusan makanan haiwan ternakan, kos pengeluaran yang tinggi, kebergantungan tinggi kepada bahan makanan import dan amalan pertanian yang tidak mampan. Oleh itu, antara matlamat Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) bagi meningkatkan produktiviti industri ternakan ruminan adalah menambahkan jumlah bilangan ternakan ruminan, meningkatkan pertumbuhan dan kemampanan dalam industri ternakan, mengurangkan impak dalam ketidaktentuan harga bahan makanan import, mengawal dan mengurangkan penyebaran penyakit, dan mengurangkan kebergantungan import bahan makanan ternakan. Antara pelan tindakan dalam mengurangkan kebergantungan import bahan makanan ternakan ialah melaksanakan penyelidikan dan pembangunan untuk mengenal pasti formulasi bahan makanan ternakan yang ekonomi dan berkesan, dan menyediakan insentif bagi penghasilan makanan ternakan tempatan untuk kegunaan tempatan, termasuk pengeluaran silaj yang berkhasiat, tahan lama dan sesuai dijadikan makanan utama ternakan ruminan.


Silaj: Definisi dan Kepentingan Pengeluaran Silaj Tempatan
 

Silaj adalah makanan ternakan yang dihasilkan daripada tanaman hijau, rumput, jagung dan hasil sampingan tanaman pertanian yang diperam dalam keadaan anaerobik, iaitu tanpa oksigen bagi membolehkan tanaman tersebut melalui proses fermentasi secara semula jadi. Proses ini bertujuan untuk menghasilkan makanan ternakan yang lebih mudah dicerna, berkhasiat dan tahan lebih lama berbanding rumput segar. Silaj juga dianggap sebagai stok makanan atau makanan simpanan yang sangat berharga bagi penternak. Ini kerana silaj boleh disimpan dalam jangka masa panjang tanpa menjejaskan kandungan nutriennya, berbeza dengan rumput segar yang mudah rosak dan tidak tahan lama. Ciri-ciri silaj ini sangat membantu terutama pada musim kemarau atau hujan lebat apabila stok rumput segar berkurangan bagi menampung keperluan makanan ternakan.

Silaj juga kaya dengan nutrien dan tenaga yang boleh membekalkan karbohidrat, protein, vitamin serta mineral penting yang diperlukan oleh haiwan ternakan untuk pertumbuhan, pembiakan, penggemukan dan penghasilan susu. Ternakan ruminan juga paling sesuai diberi makanan silaj kerana sistem perut berempat, khususnya rumen yang berfungsi untuk menghadam serat kasar dengan bantuan mikrob. Proses fermentasi silaj dapat menghalang pertumbuhan mikroorganisma perosak dan mengekalkan kehijauan untuk kegunaan jangka panjang. Tambahan pula, proses ini juga dapat mengekalkan rasa enak dan keselamatan makanan ternakan, di samping menyokong fermentasi rumen yang stabil dan merangsang aktiviti mikrob. Dengan ini, ternakan yang diberi silaj kebiasaannya akan menghasilkan susu dan daging yang lebih tinggi berbanding ternakan yang hanya bergantung pada makanan ternakan kering dan ragut.

Kepentingan silaj dalam industri ternakan tidak dapat dinafikan kerana silaj mampu meminimumkan kehilangan nutrien dari proses penuaian hingga penyimpanan. Bukan itu sahaja, silaj juga lebih praktikal berbanding makanan kering kerana proses pencampuran dan pengendalian makanan ternakan akan jadi lebih mudah dan efisien, serta melalui proses kelayuan yang lebih singkat. Tambahan pula, dengan kaedah silaj, sejumlah besar tanaman boleh diawet dengan pantas tanpa terlalu bergantung pada keadaan cuaca seperti dalam pembuatan jerami padi, sekaligus menjadikannya sumber makanan ternakan yang lebih terjamin dan berterusan dalam masa jangka panjang. Silaj juga membolehkan lebihan hasil pertanian yang dianggap sisa tanaman dimanfaatkan semula dengan menjadi sumber makanan ternakan. Dengan ini, bukan sahaja menjimatkan kos makanan ternakan, malah menggalakkan amalan kitar semula sumber semulajadi yang menyumbang kepada pertanian mampan serta menyokong kelestarian dalam pertanian.

Seiring dengan itu, pengeluaran silaj tempatan memainkan peranan penting sebagai langkah strategik dalam mengurangkan kebergantungan terhadap makanan ternakan import yang mahal serta harga yang tidak menentu. Silaj tempatan juga dapat membantu mengurangkan kos operasi penternak kerana bahan mentah untuk menghasilkan silaj boleh diperoleh dengan lebih mudah dengan mengoptimumkan penggunaan sumber pertanian sedia ada. Dengan ini, silaj tempatan dapat menyumbang kepada kelestarian dan keterjaminan makanan ternakan dengan memastikan bekalan makanan ternakan berterusan sepanjang tahun. Tambahan pula, penghasilan dan pengeluaran silaj tempatan sejajar dengan matlamat Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang menekankan penggunaan sumber tempatan sebagai alternatif terhadap bahan makanan ternakan import serta pembangunan industri agro makanan yang lebih berdaya saing dan mampan. Salah satu tanaman tempatan yang berpotensi menjadi alternatif adalah rumput Napier (Pennisetum purpureum) yang telah dikaji kegunaannya sebagai silaj bagi mengganti makanan ternakan import.

Rumput Napier Sebagai Sumber Silaj Tempatan

 

Rumput Napier (Pennisetum purpureum) yang juga dikenali sebagai rumput gajah berasal dari Afrika dan banyak ditanam di kawasan tropika dan subtropika. Rumput Napier boleh tumbuh setinggi 2 ke 5 meter dan menghasilkan antara 40 ke 80 tan biojisim segar sehektar setahun, bergantung kepada persekitaran dan pengurusannya. Malah, rumput Napier ini juga mampu tumbuh dengan baik dalam pelbagai jenis tanah, termasuklah tanah berpasir dan tanah liat, asalkan bekalan nutrien dan kelembapan mencukupi. Bukan itu sahaja, rumput Napier juga berupaya tumbuh dengan baik di bawah cahaya matahari dan juga di bawah kawasan teduh, menjadikannya sesuai untuk persekitaran cahaya yang berubah-ubah seperti di iklim tropika. Rumput Napier juga mempunyai kecekapan fotosintesis yang tinggi membolehkannya tumbuh dengan pesat dalam tempoh yang cepat dan singkat. Oleh itu, ciri-ciri yang dimiliki oleh rumput Napier ini menjadikannya sebagai salah satu sumber makanan ternakan yang terjamin, mampan dan lestari.

Salah satu  komponen nutrisi yang penting dalam rumput Napier adalah protein kasar, iaitu jumlah keseluruhan protein dalam makanan ternakan dan berfungsi sebagai sumber utama nitrogen yang diperlukan untuk kesihatan, pertumbuhan dan pembiakan haiwan ternakan. Malah, protein kasar juga memainkan peranan dalam mengoptimumkan hasil dan kualiti susu haiwan ternakan, serta meningkatkan pertambahan berat badan haiwan ternakan. Rumput Napier turut kaya dengan kandungan serat yang tinggi untuk mengekalkan fungsi rumen yang optimum dalam haiwan ternakan, sekali gus menyokong proses peruminatan dan pencernaan. Malah, rumput Napier juga mengandungi sejumlah besar karbohidrat larut yang penting untuk penghasilan tenaga serta menjadikan proses fermentasi silaj lebih berkesan. Rumput Napier juga mengandungi mineral seperti kalsium, fosforus, kalium dan magnesium yang penting untuk perkembangan tulang, fungsi metabolik dan kesihatan keseluruhan ternakan.

Selain itu, rumput Napier kaya dengan mikronutrien seperti beta-karotena yang menyokong fungsi pembiakan, sistem imum dan penglihatan ternakan. Kandungan lembapan sebanyak 60 ke 70% dalam rumput Napier, menjadikannya sesuai untuk memudahkan proses fermentasi anaerobik semasa penyediaan silaj, sekaligus memastikan silaj dapat disimpan dalam jangka masa panjang. Oleh itu, kandungan nutrien yang dimiliki rumput Napier bukan sahaja menjadikannya sebagai sumber makanan ternakan yang lengkap, malah turut berpotensi sebagai alternatif silaj tempatan yang mampu menyokong kelestarian industri ternakan. Penghasilan silaj juga membolehkan penternak memaksimumkan penggunaan sumber hijauan dengan memanfaatkan lebihan sisa tanaman hijau, sekaligus mengurangkan kebergantungan terhadap makanan ternakan import yang mahal. Malah, penghasilan silaj turut menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dengan mengurangkan pembaziran hasil pertanian serta mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

Gambar: Rumput Napier (Pennisetum purpureum)

Secara keseluruhannya, pengeluaran silaj tempatan dengan menggunakan rumput Napier mampu menjadi langkah yang strategik dalam memperkukuhkan industri ternakan negara. Rumput Napier bukan sahaja mempunyai produktiviti yang tinggi, malah kandungan nutriennya yang lengkap menjadikannya sumber tanaman hijauan yang ideal untuk penghasilan silaj berkhasiat, tahan lama serta berpotensi mengurangkan kebergantungan terhadap makanan ternakan import. Selain menyokong pertumbuhan dan produktiviti haiwan ternakan, silaj yang dihasilkan dari rumput Napier juga turut menyumbang kepada kelestarian alam sekitar. Ini sejajar dengan matlamat dan pelan tindakan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) untuk membangunkan formulasi bahan makanan yang ekonomi, lebih berdaya saing dan mampan. Justeru, penghasilan silaj tempatan berasakan rumput Napier mampu menjadi kunci utama kepada keterjaminan makanan ternakan, kelestarian industri ternakan dan kesejahteraan planet pada masa hadapan.

Rujukan

  1. Agromakanan, P., Masa, M., Sekuriti, D., & Negara, M. (n.d.).DASAR AGROMAKANAN NEGARA 2021-2030 (DAN 2.0). https://parlimen.gov.my/resources/files/rsaindex/pdf/Dasar%20Agromakanan%20Negara%202021-2030%20%28DAN%202.0%29_compressed.pdf
  2. Muck, R. E., Nadeau, E. M. G., McAllister, T. A., Contreras-Govea, F. E., Santos, M. C., & Kung, L. (2018). Silage review: Recent advances and future uses of silage additives.Journal of Dairy Science, 101(5), 3980–4000. https://doi.org/10.3168/jds.2017-13839
  3. McDonald, P., Henderson, N., & Heron, S. (1991).The Biochemistry of Silage. Scholium International.
  4. Mat Yusof, A., Mohd Amin, M. H., 2019. Napier Silage Formulation as Fodder Conservation for Goats During Monsoon Season. J. A ustrian Soc. Agric. Econ. 16, 1- 16.
  5. Kung, L., Shaver, R. D., Grant, R. J., & Schmidt, R. J. (2018). Silage review: Interpretation of chemical, microbial, and organoleptic components of silages.Journal of Dairy Science, 101(5), 4020–4033. https://doi.org/10.3168/jds.2017-13909
  6. Mwendia, S. W., Mwangi, D. M., Wahome, R., & Wanyoike, M. (2008). Assessment of growth rate and yields of three Napier grass varieties in central highlands of Kenya.Consultative Group on International Agricultural Research, Kenya Agricultural and Livestock Research Organization, University of Nairobi.

 

Designed using Responsive Brix. Powered by WordPress.